
SPEECH BY MR LEE HSIEN LOONG,PRIME MINISTER, AT NATIONAL DAY RALLY 2007 (SPEECH IN MALAY), 19 AUGUST 2007, 6.45 PM AT THE UNIVERSITY CULTURAL CENTRE, NATIONAL UNIVERSITY OF SINGAPORE
AMANAT RAPAT UMUM HARI KEBANGSAAN 2007
AHAD, 19 OGOS 2007
DI PUSAT BUDAYA UNIVERSITI
UNIVERSITI NASIONAL SINGAPURA
1. Masa depan Singapurakini kian cerah. Ekonomi kita bertenaga dan berdaya saing. Masyarakat kita teguh dan bersatu padu. Di tengah-tengah perkembangan positif ini, masyarakat Melayu/Islam telah menunjukkan prestasi yang baik, dan kini berada dalam kedudukan yang kuat untuk menangani cabaran-cabaran globalisasi. Penubuhan Mendaki 25 tahun yang lalu merupakan titik tolak yang utama. Mendaki adalah badan bantu-diri pertama di Singapura. Menerusi Mendaki, dan badan Melayu/Islam lain, orang Melayu/Islam yang berjaya telah menyumbang tenaga untuk membantu anggota masyarakat yang lemah dan menumpukan usaha kepada pendidikan, terutama sekali Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
2. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, melalui Forum Pemimpin Masyarakat, badan Melayu/Islam telah memberi sokongan padu kepada Mendaki dan berganding bahu meningkatkan pencapaian masyarakat. Dengan semangat bantu diri yang kental ini, dan bantuan Pemerintah, anda telah mengatasi masalah-masalah yang sukar. Seperti kata peribahasa, “Bulat air kerana pembetung; bulat kata kerana muafakat”. Sama ada dalam bidang pendidikan, perumahan, kedudukan sosio-ekonomi, atau dalam memerangi salahguna dadah,anda telah mencatat kejayaan yang besar. Tahun demi tahun, kemajuan mungkin kecil, tetapi perubahan sepanjang 25 tahun yang lalu amat ketara.
3. Hari ini, lebih ramai pelajar Melayu/Islam berjaya dalam pelajaran di politeknik dan universiti. Nur Aniszah Sapari, umpamanya, telah memenangi biasiswa berprestij di Politeknik Ngee Ann. Lebih ramai anak Melayu/Islam sedang mengejar peluang dan kerjaya di luar negeri, misalnya Ashley Isham, seorang pereka fesyen yang berjaya di London. Beliau telah memenangi Anugerah Jauhari Berita Harian,baru-baru ini. Setiap tahun, kita menyaksikan lebih banyak kisah kejayaan seperti ini. Anda sekelian, dan semua rakyat Singapura, boleh berasa bangga dengan pencapaian ini.
4. Selain hasil konkrit yang telah dicapai, kejayaan paling penting ialah semangat masyarakat Melayu/Islam – yakin,bersatu dan berdikari. Anda telah bersaing atas dasar sama rata dengan kaum lain,dan boleh berjaya dalam sistem meritokrasi kita. Rakyat Singapura yang lain juga yakin akan kebolehan anda. Anda sendiri pula berazam mengatasi cabaran-cabaran baru. Meskipun isu dan cabaran itu sensitif dan sukar,anda telah mengambil langkah proaktif untuk menanganinya secara terbuka dan objektif.
5. Satu daripada isu-isu ini ialah masalah keluarga pincang, dan persoalan yang berkaitan dengannya iaitu perkahwinan awal dan kehamilan remaja. Masyarakat Melayu/Islam telah mulakan program untuk mengatasi masalah ini. Tetapi bilangan remaja perempuan Melayu/Islam yang hamil masih terlalu besar. Saya menggesa badan Melayu/Islam supaya bekerjasama dengan Mendaki dalam soal ini. Ia adalah usaha jangka panjang, tetapi saya yakin masyarakat Melayu/Islam dapat mengatasinya dengan tegas, dan akhirnya berjaya.
6. Satu lagi isu ialah pengganasan ekstremis, yang menjejas semua rakyat Singapura. Ia bukanlah satu ancaman baru, tetapi ia telah mengambil bentuk yang baru dan merbahaya. Internet memudahkan golongan ekstremis menyebarkan idea beracun mereka. Ada yang mungkin terpengaruh. Segelintir pula secara senyap berubah menjadi radikal tanpa disedari keluarga dan kawan-kawan. Ini berlaku bukan sahaja di Singapura tetapi juga di negara lain.
7. Saya berbesar hati masyarakat Melayu/Islam sedar betapa seriusnya ancaman ini. Para pemimpin anda telah menanganinya secara jujur dan terus terang. MUIS telah menerajui usaha untuk menegakkan Islam sebagai agama yang progresif, toleran dan aman. Kumpulan Pemulihan Agama atau RRG telah menjalankan tugas dengan cemerlang. Barisan asatizah yang disegani telah tampil ke hadapan untuk memberi nasihat kepada tahanan dan menangkis ajaran radikal. Mereka juga telah membantu warga Islam Singapura memahami Islam dalam konteks masyarakat kita yang sekular.
8. Masyarakat anda telah mengambil sikap yang jelas dan tegas. Ini memberi isyarat kuat bahawa idea-idea radikal adalah salah, dan jika sesiapa terpengaruh, m asyarakat akan mengutuk tindakan mereka. Ia juga memberi kepastian kepada warga lain Singapura bahawa orang Melayu/Islam memainkan peranan untuk menjadikan negara kita selamat dan terjamin.
9. Isu ketiga ialah pendermaan organ. Ini adalah satu isu sensitif bagi ramai warga Singapura, terutamanya orang Islam. Oleh itu, apabila Pemerintah meluluskan Akta Pemindahan Organ Manusia atau HOTA,dua dekad lalu, orang Islam tidak disertakan dalam akta tersebut.
10. Sejak itu, masyarakat Melayu/Islam lebih faham tentang pendermaan organ dan semakin menerimanya. Tetapi satu masalah yang telah lama menjadi rintangan besar ialah isu opt-out atau minta dikecualikan. Kini Jawatankuasa Fatwa telah mengeluarkan fatwa yang membolehkan orang Islam menyertai skim o pt-out. Para pemimpin Melayu/Islam telah meminta supaya orang Islam disertakan dalam HOTA. Mereka mahu orang Islam menikmati keutamaan yang sama dalam pemindahan organ. Keprihatinan utama mereka adalah perasaan belas kasihan terhadap pesakit, dan perlunya menyelamatkan nyawa.
11. Saya gembira dengan perkembangan ini. Sebagai menyahut permintaan masyarakat Melayu/Islam, Pemerintah akan meminda HOTA untuk menyertakan or ang Islam da lam akta ini. Dengan cara ini, lebih ramai pesakit yang memerlukan pemindahan organ akan dapat dibantu. Ini adalah satu lagi contoh baik kerjasama antara masyarakat dan pemerintah.
12. Kepercayaan dan keyakinan antara Pemerintah dengan masyarakat Melayu/Islam, dan antara orang Islam dengan bukan Islam, adalah satu daripada aset utama negara kita. Lebih-lebih lagi sekarang ini,apabila kita melihat orang Islam bersengketa dengan orang bukan Islam di banyak negara lain. Di Eropah, dan bahkan di beberapa negara Asia,ini telah mengakibatkan pengasingan dan keganasan. Di Singapura, kita telah melaksanakan dasar-dasar integrasi secara menyeluruh. Ini dilakukan di kejiranan HDB, di sekolah, dan di peringkat nasional. Hasilnya, orang Islam telah menjadi sebahagian daripada masyarakat yang lebih luas.
13. Tetapi, masih ada isu sensitif lain yang masyarakat Melayu/Islam perlu renungkan dan atasi dari masa ke semasa. Saya harap MUIS dan badan Melayu/Islam akan terus mendidik masyarakat mengenai isu-isu inidan meningkatkan kerjasama dengan Pemerintah dan masyarakat lain. Dengan demikian kita akan menguatkan lagi jalinan kita sebagai sebuah masyarakat berbilang bangsa.
14. Di samping itu, orang Melayu/Islam seperti rakyat Singapura yang lain juga perlu fikirkan keperihatinan nasional. Ini termasuk perkembangan antarabangsa yang menjejas Singapura seperti pergolakan pasaran kewangan yang kita hadapi sekarang ini. Kita juga harus fikirkan keutamaan negara seperti menghadapi isu penduduk yang semakin tua, merapatkan jurang pendapatan, meningkatkan nilai rumah warga kita, dan menggalakkan lebih ramai pelajar bukan Melayu mempelajari bahasa Melayu di sekolah. Saya akan perkatakan hal-hal ini dalam ucapan bahasa Inggeris nanti. Hakikatnya, biar apa pun isunya, kita semua adalah sepihak, bekerja sebagai satu pasukan, dan berusaha gigih untuk mencapai hasil yang terbaik untuk Singapura.
15. Usaha kita untuk membina masyarakat Melayu/Islam yang progresif dan bersepadu sebenarnya, telah mendapat perhatian. Apabila para pemimpin luar negara bertemu saya, mereka sering bertanya tentang pendekatan kita. Mereka beritahu sayabahawa mereka kagum dengan Singapura.
16. Saudara-saudara sekelian, kita telah mencapai sesuatu yang unik dan sangat berharga iaitu keharmonian kaum dan agama dalam dunia yang bergolak. Kita mesti menghargainya dan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkannya. Pemerintah akan beri sokongan padu kepada usaha anda. Marilah kita bina sebuah Masyarakat Cemerlang dalam bandar raya kita yang penuh dengan kemungkinan. Terima kasih.