Singapore Government Press
Release
Media Relations Division,
Ministry of Information, Communications and the Arts,
MICA Building, 140 Hill Street,
2nd Storey, Singapore 179369
Tel: 6837-9666
AMANAT RAPAT UMUM HARI KEBANGSAAN 2007
AHAD, 19 OGOS 2007
DI PUSAT BUDAYA UNIVERSITI
UNIVERSITI NASIONAL SINGAPURA
1. Masa
depan Singapurakini kian cerah. Ekonomi
kita bertenaga dan berdaya saing. Masyarakat kita teguh dan bersatu padu. Di tengah-tengah perkembangan positif ini,
masyarakat Melayu/Islam telah menunjukkan prestasi yang baik, dan kini berada
dalam kedudukan yang kuat untuk menangani cabaran-cabaran globalisasi.
Penubuhan Mendaki 25 tahun yang lalu merupakan titik tolak yang utama. Mendaki adalah badan bantu-diri pertama di Singapura. Menerusi
Mendaki, dan badan Melayu/Islam lain, orang Melayu/Islam yang berjaya telah
menyumbang tenaga untuk membantu anggota masyarakat yang lemah dan menumpukan
usaha kepada pendidikan,
terutama sekali Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
2. Dalam
beberapa tahun kebelakangan ini, melalui Forum Pemimpin Masyarakat, badan
Melayu/Islam telah memberi sokongan
padu kepada Mendaki dan berganding
bahu meningkatkan pencapaian masyarakat. Dengan semangat bantu diri yang kental ini, dan bantuan Pemerintah, anda telah mengatasi masalah-masalah
yang sukar. Seperti kata peribahasa,
“Bulat air kerana pembetung; bulat kata kerana muafakat”. Sama ada dalam bidang pendidikan, perumahan,
kedudukan sosio-ekonomi, atau dalam memerangi salahguna dadah,anda
telah mencatat kejayaan yang besar.
Tahun demi tahun, kemajuan mungkin kecil, tetapi perubahan sepanjang 25
tahun yang lalu amat ketara.
3. Hari
ini, lebih ramai pelajar Melayu/Islam berjaya dalam pelajaran di politeknik dan
universiti. Nur Aniszah Sapari,
umpamanya, telah memenangi biasiswa berprestij di Politeknik Ngee Ann. Lebih ramai anak Melayu/Islam sedang mengejar
peluang dan kerjaya di luar negeri, misalnya Ashley Isham, seorang pereka
fesyen yang berjaya di London. Beliau telah memenangi Anugerah Jauhari Berita
Harian,baru-baru ini. Setiap tahun, kita
menyaksikan lebih banyak kisah kejayaan seperti ini. Anda sekelian, dan semua rakyat Singapura,
boleh berasa bangga dengan pencapaian ini.
4. Selain
hasil konkrit yang telah dicapai, kejayaan paling penting ialah semangat masyarakat Melayu/Islam – yakin,bersatu dan berdikari. Anda telah bersaing atas dasar sama rata dengan kaum lain,dan boleh
berjaya dalam sistem meritokrasi kita. Rakyat Singapura yang lain juga yakin
akan kebolehan anda. Anda sendiri pula berazam
mengatasi cabaran-cabaran baru. Meskipun isu dan cabaran itu sensitif dan
sukar,anda telah mengambil langkah proaktif untuk menanganinya secara terbuka
dan objektif.
5. Satu
daripada isu-isu ini ialah masalah keluarga pincang, dan persoalan yang
berkaitan dengannya iaitu perkahwinan awal dan kehamilan remaja.
Masyarakat Melayu/Islam telah mulakan program untuk mengatasi masalah
ini. Tetapi bilangan remaja perempuan Melayu/Islam
yang hamil masih terlalu besar. Saya menggesa badan Melayu/Islam supaya
bekerjasama dengan Mendaki dalam soal ini.
Ia adalah usaha jangka panjang,
tetapi saya yakin masyarakat
Melayu/Islam dapat mengatasinya dengan tegas,
dan akhirnya berjaya.
6. Satu
lagi isu ialah pengganasan ekstremis, yang menjejas semua rakyat Singapura. Ia
bukanlah satu ancaman baru, tetapi ia telah mengambil bentuk yang baru dan merbahaya. Internet memudahkan golongan ekstremis menyebarkan idea beracun mereka. Ada yang mungkin terpengaruh.
Segelintir pula secara senyap berubah menjadi radikal tanpa disedari
keluarga dan kawan-kawan. Ini berlaku
bukan sahaja di Singapura tetapi juga di negara lain.
7. Saya
berbesar hati masyarakat Melayu/Islam sedar
betapa seriusnya ancaman
ini. Para pemimpin anda telah
menanganinya secara jujur dan terus terang. MUIS telah menerajui usaha untuk menegakkan
Islam sebagai agama yang progresif, toleran dan aman. Kumpulan Pemulihan Agama atau RRG telah
menjalankan tugas dengan cemerlang.
Barisan asatizah yang disegani telah tampil ke hadapan untuk memberi
nasihat kepada tahanan dan menangkis ajaran radikal. Mereka juga telah membantu warga Islam
Singapura memahami Islam dalam
konteks masyarakat kita yang sekular.
8. Masyarakat
anda telah mengambil sikap yang jelas
dan tegas. Ini memberi isyarat kuat bahawa idea-idea radikal adalah salah, dan jika sesiapa terpengaruh,
masyarakat akan mengutuk tindakan mereka. Ia juga memberi kepastian kepada warga lain Singapura
bahawa orang Melayu/Islam memainkan peranan
untuk menjadikan negara kita selamat
dan terjamin.
9. Isu
ketiga ialah pendermaan organ. Ini
adalah satu isu sensitif bagi
ramai warga Singapura, terutamanya orang Islam.
Oleh itu, apabila Pemerintah meluluskan Akta Pemindahan Organ Manusia atau
HOTA,dua dekad lalu, orang Islam tidak disertakan dalam akta tersebut.
10. Sejak
itu, masyarakat Melayu/Islam lebih
faham tentang pendermaan
organ dan semakin menerimanya. Tetapi satu masalah yang telah lama menjadi
rintangan besar ialah isu opt-out atau minta dikecualikan. Kini Jawatankuasa Fatwa telah mengeluarkan
fatwa yang membolehkan orang Islam menyertai skim opt-out. Para pemimpin Melayu/Islam telah meminta
supaya orang Islam disertakan dalam HOTA. Mereka mahu orang Islam menikmati keutamaan yang sama dalam pemindahan
organ. Keprihatinan utama mereka adalah
perasaan belas kasihan terhadap pesakit, dan perlunya menyelamatkan nyawa.
11. Saya
gembira dengan perkembangan ini. Sebagai
menyahut permintaan masyarakat Melayu/Islam, Pemerintah akan meminda HOTA untuk menyertakan orang Islam dalam akta
ini. Dengan cara ini, lebih ramai
pesakit yang memerlukan pemindahan organ akan dapat dibantu. Ini adalah satu lagi contoh baik kerjasama antara
masyarakat dan pemerintah.
12. Kepercayaan
dan keyakinan antara Pemerintah dengan masyarakat Melayu/Islam, dan antara
orang Islam dengan bukan Islam,
adalah satu daripada aset utama
negara kita. Lebih-lebih lagi sekarang
ini,apabila kita melihat orang Islam bersengketa
dengan orang bukan Islam di
banyak negara lain. Di Eropah, dan
bahkan di beberapa negara Asia,ini telah mengakibatkan pengasingan dan keganasan. Di Singapura, kita telah melaksanakan
dasar-dasar integrasi secara menyeluruh.
Ini dilakukan di kejiranan HDB, di sekolah, dan di peringkat
nasional. Hasilnya, orang Islam telah
menjadi sebahagian daripada masyarakat yang lebih luas.
13.
Tetapi, masih ada isu sensitif
lain yang masyarakat Melayu/Islam perlu renungkan dan atasi
dari masa ke semasa. Saya harap MUIS dan
badan Melayu/Islam akan terus mendidik
masyarakat mengenai isu-isu inidan meningkatkan kerjasama dengan
Pemerintah dan masyarakat lain. Dengan
demikian kita akan menguatkan lagi jalinan
kita sebagai sebuah masyarakat berbilang bangsa.
14. Di
samping itu, orang Melayu/Islam seperti rakyat Singapura yang lain juga perlu
fikirkan keperihatinan
nasional. Ini termasuk perkembangan
antarabangsa yang menjejas Singapura seperti pergolakan pasaran kewangan yang
kita hadapi sekarang ini. Kita juga
harus fikirkan keutamaan negara seperti menghadapi isu penduduk yang semakin tua, merapatkan jurang pendapatan, meningkatkan nilai
rumah warga kita, dan menggalakkan lebih ramai pelajar bukan Melayu mempelajari bahasa Melayu di sekolah. Saya akan perkatakan
hal-hal ini dalam ucapan bahasa Inggeris nanti.
Hakikatnya, biar apa pun
isunya, kita semua adalah sepihak,
bekerja sebagai satu pasukan, dan
berusaha gigih untuk mencapai
hasil yang terbaik untuk
Singapura.
15. Usaha
kita untuk membina masyarakat Melayu/Islam yang progresif dan bersepadu sebenarnya,
telah mendapat perhatian. Apabila para
pemimpin luar negara bertemu saya, mereka sering bertanya tentang pendekatan
kita. Mereka beritahu sayabahawa mereka kagum dengan Singapura.
16. Saudara-saudara
sekelian, kita telah mencapai sesuatu yang unik dan sangat
berharga iaitu keharmonian kaum
dan agama dalam dunia yang bergolak.
Kita mesti menghargainya
dan berusaha sedaya upaya untuk
mengekalkannya. Pemerintah akan beri sokongan padu kepada usaha anda.
Marilah kita bina sebuah Masyarakat Cemerlang dalam bandar raya
kita yang penuh dengan
kemungkinan. Terima kasih.